Nota: Kiriman ini sebenar-benarnya adalah kiriman tertangguh. Draf ini sebenarnya mula dinukilkan pada 06 Mac 2010 (sudah hampir setahun yang lalu!!). Kiriman terkini masih dalam pembikinan. Sementara menunggu, moga beroleh manfaat daripada karangan ini.
Assalamualaikum.
Assalamualaikum.
Marilah kita bersama meningkatkan lagi kecintaan kita kepada junjungan besar, Muhammad S.A.W. dengan membanyakkan selawat kepadanya, melaksanakan sunnah-sunnah tinggalan baginda, dan berusaha untuk mencapai ketinggian iman dan akhlaq, mudah-mudahan kita beroleh syafaat daripada baginda kelak ketika tiada manusia bahkan nabi sekalipun ketika itu yang berupaya memberi syafaat melainkan baginda S.A.W.
Sollu 'alan nabiyyina. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala alihi wasohbihi wabaraka wasallam.
----------------------------------------------------------------------------------------
Alhamdulillah, segalanya telah selesai, tak perlu lagi Sang Musafir serabutkan pemikiran dengan kehendak-kehendak IB yang sememangnya begitu "demanding" bak kata pendeta negeri orang rambut kuning. TOK (Theory of Knowledge) Presentation baru sahaja diselesaikan, yang tinggal kini hanyalah pengurusan CAS (Creative, Action, Service – Co-curriculum IB) Hours. Dalam usaha menyelesaikan TOK Presentation, banyak yang telah dikorbankan. 3 kelas pengajian terpaksa ditinggalkan tetapi hasilnya tidak seberapa. Tak perlu rasanya bagi Sang Musafir untuk menyesali apa yang telah dilakukan sepertimana yang telah Sang Musafir kongsikan sebelum ini, kita tak pernah salah dalam membuat keputusan. Jadi, apa yang Sang Musafir dapat daripada pilihan yang telah dibuat itu, untuk membetulkan apa yang salah dalam pilihan itu, Sang Musafir dan teman mengambil langkah untuk berjumpa dengan guru-guru dan menyatakan rasa bersalah kami serta meminta maaf daripada mereka atas perbuatan kami meninggalkan kelas mereka. Alhamdulillah, kemaafan kami diterima dengan baik oleh mereka. Itulah salah satu pengajaran atau pengalaman yang amat baik bagi Sang Musafir, perbuatan yang amat berat sekali bagi diri Sang Musafir untuk dilaksanakan tetapi ia member kesan yang amat mendalam. Terima kasih, cikgu-cikgu dan kami tidak lain hanya mengharapkan keberkatan daripada ilmu yang diberi…
Baiklah, rasanya mungkin tidaklah di niat Sang Musafir untuk memanjangkan lagi kisah ini tetapi apa yang ingin dikongsikan bersama para pendengar karutan Sang Musafir adalah lebih kepada apa yang terbaru atau "latest news" bak kata Raymond Goh, pembaca berita Nightline TV3, yang dilalui Sang Musafir, hari ini. Sekali lagi, izinkan Sang Musafir membahasakan diri ini dengan perkataan "ana" untuk memudahkan penceritaan…
Malam Bersama Ikhwah Tercinta (MaBIT)
Sebentar tadi, ana dan teman-teman bersama dengan ikhwah-ikhwah tahun 1 baru sahaja selesai melaksanakan apa yang dinamakan "Mabit" (berasal dari perkataan bahasa Arab yang bermaksud 'berumah' atau 'bermalam' seperti yang terdapat dalam rukun haji & umrah – Mabit di Muzdalifah, betulkan ana andai tersalah), bertemakan 'Besi' yang diawalnya dirancang untuk dilaksanakan di Masjid Besi tetapi terpaksa dilakukan di KMB kerana semua ikhwah-ikhwah tahun 1 dirantai di sini. Dimulakan dengan pendaftaran peserta jam 9.00 malam setelah selesai solat Isya berjemaah (ana ketika itu menjalankan halaqah – tertunda beberapa kali sehingga akhirnya dibawa ke malam semalam~) dan slot Bersama Al-Quran setelah taklimat perjalanan program, sehingga jam 10.30 malam di bilik TV Blok B. Para peserta diminta menghafal sepotong ayat al-Quran:
"Siapakah orangnya Yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman Yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? dan (selain itu) ia akan beroleh pahala Yang besar!" ~Al-Hadid, 57:11~
dan sepotong hadith, mafhumnya:
"Manusia umpama logam. Terpilihnya dia di waktu Jahiliyyah, terpilihlah dia semasa Islam. Apabila dia mengetahui."
Selepas itu, kami semua ke surau untuk hidangan minum malam di mana kami saling menyuapkan sosej yang diisi dalam talam. Jam 11.00 malam, bermulalah pengisian pertama oleh Akhi Ammar dari Bandar Baru Bangi, menceritakan tentang nilai, "Apakah Nilai Diri Kita?". Pengisian tamat setelah hampir 1 jam 45 minit dan terus disambung dengan bacaan Al-Mulk, sedikit pengisian dari Salam dan tidur, untuk bersama melaksanakan Qiyamullail jam 5.00 pagi tadi. Seusai menunaikan solat Subuh, kami kembali ke bilik TV blok B untuk bacaan Ma'thurat dan sedikit pengisian daripada ana berkaitan dengan "Qaedah Sulbi". Jam 7.15 pagi, para peserta pulang menukar pakaian untuk permainan futsal yang bermula jam 8.45 pagi tadi. Dirancangkan untuk bersama ikhwah-ikhwah dari Politeknik Banting tetapi disebabkan kesilapan komunikasi, permainan diteruskan sesama kami ikhwah KMB sahaja. Di akhirnya, para peserta dijamu nasi goreng Dewan Selera dalam talam setelah majlis penutup jam 8.25 pagi. Alhamdulillah.
Khabar Mengejutkan...
Jumaat itu, kami mengadakan perbincangan untuk pelaksanaan Mabit ini. Terkejut ana apabila ana diberi amanah untuk menyampaikan tazkirah Subuh berkaitan dengan kaedah 'sulbi'. Tersenyum ana sendirian memikirkan nasib diri ini. Ana bukanlah seorang yang petah berkata-kata lagikan pula berilmu. Sepanjang pengalaman ana menyampaikan bahan kepada anak-anak halaqah ana, acapkali terasa kekurangan perisa di dalamnya. Inikan pula untuk menyampaikan tazkirah di waktu manusia masih lagi bermata kuyu, mengantuk dan tersengguk. Tawakkal ana hanya pada Allah.
Petang itu ana cuba untuk mencari sebarang bahan bacaan yang berkaitan dengan tajuk tersebut. Sambungan internet tanpa wayar yang bermasalah menyukarkan ana untuk mendapatkan bahan dari situ. Ana cuba untuk search di dalam laptop ana seandainya ada artikel-artikel yang berkaitan dengannya. Tiada yang dapat ana manfaatkan.
Ana baru sahaja diserang selesema kembali. Mujurlah ana tak memberi pengisian yang berat semasa halaqah berjalan semalam. Rasa tidak selesa untuk berfikir apatah lagi untuk bercakap. Malam itu, setelah Al-Mulk, ana mula berfikir untuk mencari isi-isi yang boleh disampaikan esok. Ana berbaring, berkongsi bantal bersama Afifi. Kami mula berbual-bual. Banyak yang dibualkan. Masalah ummah masa kini, masalah muslim KMB. Akhirnya, ana tertidur tanpa sebarang catatan isi untuk hari esok...
Ikhtiar Diteruskan...
Pagi itu ana dikejutkan oleh Safwan. Jam menunjukkan pukul 4.45 pagi. Ana bersiap untuk menunaikan qiyamullail. Solat tahajjud berjemaah, setelah itu bersendiri. Selesai solat tahajjud, aku menyambung di luar untuk ibadah yang lain. Selesai, aku cuba untuk memikirkan apa yang boleh disampaikan nanti. Keadaan kesihatan ditambah pula rasa mengantuk yang menekan menyukarkan lagi proses pemikiran. Akhirnya ana kecundang sehinggalah azan Subuh dilaungkan. Selesai solat Subuh, ana membawa peserta ke bilik TV blok B. Ana cuba untuk mencatatkan sedikit sebanyak yang dapat ana gali dari ingatan ana, apa-apa yang boleh dimanfaatkan. Bacaan Al-Ma'thurat lalu bergema memenuhi ruangan di bilik tersebut. Sesudah itu, Salam sebagai MC menjemput ana untuk memulakan bicara pada pagi itu...
Bicara Dimulakan...
Sebelum diteruskan dengan penyampaian, ana minta peserta mengurut rakan di sebelah dan push-up 10 kali. Apabila dirasakan telah bersedia, bibir dan lidah menari menyusun kata.
"Midi?"
"Tak"
"Faiz?"
Menggeleng.
"Azim (sebutan – 'Azhim)?"
"Tak"
"Sulbi bererti tulang belakang. Jadi, kaedah sulbi ni adalah kaedah di mana Rasulullah membina satu tulang belakang bagi Islam ketika itu untuk membantu baginda menggerakkan dakwah," terang ana. Cuba untuk menyampaikan maksud berdasarkan kefahaman ana.
"Sebelum ana membincangkan dengan lebih mendalam mengenai kaedah sulbi ni, eloklah kita melihat kembali sirah Rasulullah."
Dan bicara diteruskan...
Berapa Harga Kita?
Perbincangan sebenar bermula di sini. Panjang betul muqaddimahnya... ^_^
Bersempena dengan bulan Maulidur Rasul ini, mari kita sama-sama cuba untuk menghayati sirah perjalanan hidup Rasulullah S.A.W., insan agung yang telah membawa Islam di tengah masyarakat yang sudah hilang pedoman, hilang panduan, hilang arah tuju kehidupan mereka. Rasulullah dibesarkan dalam masyarakat yang ketika itu digelar Jahiliyyah.
"Apa perbuatan yang dilakukan masyarakat Jahiliyyah ketika itu, Akmal?" soal ana.
"Minum arak," jawab Akmal.
"Zakuwan?"
"Bunuh anak"
"Faqir?"
"Merompak"
Daripada jawapan-jawapan itu, cuba kita bandingkan pula dengan masyarakat kita zaman sekarang pula...
Minum arak – ya, itu perkara biasa. Malah di sebuah negara pengerusi Organization of Islamic Countries (OIC) pun ada kilang arak, Carlsberg, yang terbesar di Asia. Belum lagi dikira mereka yang tertera di MyKad mereka perkataan 'Islam' tetapi lagaknya seperti masyarakat di beberapa negeri 4 musim yang dengan senang hatinya menonggak botol-botol minuman keras. Ditambah pula dengan tentangan terhadap pelaksaan Hukum Hudud terhadap peminum arak oleh mereka yang membawa bersama mereka nama Islam itu sendiri.
Bunuh anak – Masyarakat zaman sekarang sudah maju. Jika dahulu, masyarakat Arab Jahiliyyah membunuh anak perempuan mereka kerana dikhuatiri akan membawa sial, memalukan nama mereka, hari ini tidak perlu lagi kepada sebab-sebab yang karut itu untuk membuang anak mereka yang akhirnya membawa kepada kematian anak kecil tersebut; samada mati disebabkan lemas dalam tong sampah, kelaparan atau mati dimakan anjing dan binatang lain.
Lewat ini, kita disedarkan dengan pelbagai kisah-kisah yang menyedihkan dan membuka mata bagi masyarakat kita untuk disedarkan betapa teruknya keadaan masyarakat di Malaysia, zaman sekarang ini. "Eye Opener" bak kata akhi Ammar. Terbaru, kisah adik Safiah yang mati dibelasah teman lelaki ibunya. Sebelum itu, kisah bayi yang dibakar dan pada fikiran ana, si ibu mungkin sekali tidak akan membunuh anak kecil itu melainkan dibakarnya hidup-hidup walaupun ada sahaja ruang untuk mengatakan bayi itu dibakar setelah ia mati. Tak kurang juga berita-berita yang disiarkan hampir setiap hari di akhbar-akhbar tempatan yang membicarakan tentang bayi-bayi yang dibuang dalam tangki jamban, dalam tong sampah, dalam semak, di bangunan beli-belah, di masjid dan bermacam-macam lagilah. Itu tak termasuk yang tidak disensasikan berita yang ana kira beratus lagi kes ekoran pergaulan bebas yang semakn berleluasa dan amalan zina yang hampir tak terbendung lagi. Yang sedihnya, kebanyakan perbuatan-perbuatan ini dilakukan oleh mereka yang meggelar diri mereka sebagai Islam, jika tidak Melayu...
Merompak – Jika dibicarakan berkenaan mencuri, mengambil harta yang bukan haknya, boleh dikatakan hampir sahaja setiap minit ianya berlaku di Malaysia ini. Terlalu banyak sehingga tidak perlu ana mengupas panjang mengenainya. Setiap daripada kita mungkin sudah mengalaminya jika tidak jiran terdekat yang menjadi mangsa.
Jadi, mengutip kembali butir-butir kata akhi Ammar berkenaan nilai diri kita, sesungguhnya nilai diri kita ini jauh terlalu murah jika didasarkan kepada material. Jasad ini tidak punya sebarang nilai. Maka, apakah nilai kita sebenarnya? Bagaimana kita ingin menilai diri kita? Apakah yang membezakan harga diri kita dengan harga sahabat kita?
Maka, untuk menjawab persoalan ini, kita ini dinilai dengan dua perkara. Ilmu dan taqwa. Ilmu yang dimaksudkan di sini, menurut Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, adlaah segala jenis ilmu, duniawi mahupun ukhrawi dan kedudukan taqwa sebagai penentu nilai diri kita telah diterangkan Allah dalam sepotong ayat Al-Quran:
" Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). " – QS. Al-Hujuraat, 49:13
Muhasabah kembali akan apa yang dilakukan oleh masyarakat zaman sekarang, apakah nilai yang dapat kita letakkan pada masyarakat kita? Sesungguhnya, masyarakat kita telah menjadi jauh lebih rendah nilainya jika dibandingkan dengan masyarakat Arab Jahiliyyah dahulu. Mungkin sekali lebih rendah daripada binatang ternakan, seperti yang difirmankan di dalam Al-Quran:
" dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia Yang mempunyai hati (Tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan Yang mempunyai mata (Tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan Yang mempunyai telinga (Tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang Yang lalai. " – QS. Al-A'raaf, 7:179
Amat sesuai untuk kita mengaplikasikan apa yang dilaksanakan Rasulullah S.A.W. dahulu. Bagaimana baginda S.A.W. memperbaiki masyarakat pada ketika itu, begitulah cara kita memperbaiki masyarakat zaman sekarang. Kaedah sulbi adalah salah satu daripadanya. Ust Kader (ketua moderator agama Iluvislam), ketika menjadi panel forum Maulidurrasul di KMB dua hari lepas, ada menyebut tentang 12 orang yang dihantar Rasulullah S.A.W. ke Madinah dan apabila baginda S.A.W. tiba di Madinah, diangkat menjadi ketua di sana.
Jadi apa kaitannya? 12 orang inilah hasil kaedah sulbi yang dilaksanakan Rasulullah S.A.W. Sulbi kepada gerakan Islam.
Bagaimana nak melaksanakannya? Jawapannya = USRAH. Melalui usrah inilah baginda S.A.W. mampu membentuk sebuah kerajaan Islam! Ana petik kata-kata Ust Kader "Don't underestimate the power of usrah!"
Sekiranya kita ingin membina sebuah bangunan yang kukuh, yang stabil, biar gempa bumi dengan skala ritcher 10 atau dipukul ombak tsunami setinggi 20 meter sekalipun tidak roboh, maka perlu kepada pembinanya memastikan asas atau foundation kepada binaan tersebut adalah yang terbaik.
Tulang belakang bagi manusia mempunyai peranan yang amat kuat dalam memastikan badan ini dapat teguh berdiri dan mudah untuk bergerak ke mana sahaja. Maka, bagi gerakan da'wah Islam zaman sekarang ini, tulang belakang itu yang perlu dipastikan kukuh agar Islam dapat ditegakkan kembali dan mudah untuk Islam dibawa ke mana sahaja.
Apakah komposisi tulang belakang yang kuat? Jika dinilai kembali, Khulafa' Ar-Rasyidin: Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, kesemua mereka merupakan para Sahabat yang diberi hidayah oleh Allah ketika mereka berada di awal seruan da'wah Rasulullah S.A.W., terpilih dari kalangan masyarakat Makkah. Apakah isi atau pengajaran ayat-ayat makkiyyah?
"Aqidah" jawab Azim.
Ya, aqidah merupakan elemen penting dalam membina tulang belakang yang kuat. Jika kuat aqidah mereka, kuatlah tulang belakang mereka dan jika kuat tulang belakang mereka, maka kuatlah tulang belakang bagi gerakan Islam.
Inilah yang perlu dicapai oleh dai' masa kini. Kita perlu membentuk sulbi yang kuat untuk memantapkan lagi gerakan Islam seterusnya memudahkan pembaikan masyarakat Muslim, khususnya di Malaysia.
Aduh, sakit belakang...
Masalah umat zaman kini ialah kurangnya pemantapan sulbi mereka. Mereka memahami Islam sekadar solat dan ibadah-ibadah tertentu. Solat terjaga, maka cukuplah aku sebagai seorang Islam. Aku puasa cukup 30 hari di bulan Ramadhan, cukuplah aku sebagai seorang muslim. Mereka hanya mengejar Rukun Islam. Bagaimana pula dengan Rukun Iman? Inilah yang menjadi punca kepada semua masalah ummat masa kini. Bagi mereka, cukuplah sekadar menjadi Muslim, yang tertera di MyKad itu Islam, tanpa ada usaha untuk meningkatkan nilai diri mereka untuk menjadi seorang Mukmin.
Setakat itu sahaja perkongsian Sang Musafir kali ini. Walaupun banyak lagi yang dapat dibincangkan, masa dan tugasan mengehadkan perkongsian ana. Mudah-mudahan apa yang dikongsikan ini dapat menjadi manfaat buat diri Sang Musafir ini dan pendengar penglipur lara ini. Wassalam.








1 jejak ditinggalkan:
Nice post. Tertarik dengan subpoint; Minum Anlene, Sakit Belakang suma2 tu hehe :)
Post a Comment